BATU GAJAH: Taktik licik satu sindiket menyalahgunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dengan menjalankan aktiviti pemindahan gas secara haram terbongkar dalam satu serbuan di Kawasan Perindustrain Bemban, Baru Gajah, pada Selasa.
Serbuan menerusi Op Gasak sekitar jam 6.30 petang itu membawa kepada penemuan 1,899 tong LPG yang digunakan bagi tujuan memindahkan gas daripada tong 14 kilogram bersubsidi ke tangki lain.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail, premis yang beroperasi sejak sebulan lalu itu tidak memiliki sebarang dokumen yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk menjalankan sebarang urus niaga berkaitan barang kawalan.
“Modus operandi sindiket ni di mana mereka akan beli tong gas subsidi 14 kg daripada sekitar Perak atau luar Perak dan dengan harga subsidi.
“Kemudiannya mereka akan hantar tong-tong gas ni kepada premis haram ni untuk lakukan aktiviti ‘decanting’ iaitu memindahkan gas LPG kepada tangki lain,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi serbuan di sini, hari ini.
Beliau berkata, selepas proses ‘decanting’ tong-tong gas itu akan dipindahkan ke dalam lori untuk diedarkan.
Menurut Kamalludin, gas-gas itu kemudiannya akan dijual kepada pihak industri dengan harga yang lebih tinggi berbanding harga subsidi.
Katanya, harga subsidi bagi LPG adalah sekitar RM1.90 sekilogram berbanding harga siling pasaran RM5 sekilogram.
Ujarnya, daripada 1,899 tong yang disita, 871 tong berisi gas dan 1,028 lagi tong kosong, yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM66,500.
Katanya, turut ditahan dalam operasi itu ialah seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang dipercayai pemilik premis serta lima lelaki warga Myanmar berusia antara 25 hingga 45 tahun yang bertugas sebagai pekerja.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.