Op Bersepadu Samseng Jalanan: 178 termasuk pelajar, penuntut universiti ditahan

Berita Perak

IPOH: Polis menahan 178 orang, termasuk 30 pelajar sekolah dan empat penuntut universiti yang berumur antara 15 hingga 34 tahun dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Jelapang, Ipoh awal pagi Ahad.

Polis turut menahan 143 buah motosikal kerana pelbagai kesalahan di samping menyita 19 daripadanya kerana kesalahan serius, khususnya mengubah suai, di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, operasi dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu adalah usaha untuk
mengurangkan kes kemalangan disamping mencegah aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Kita telah mengeluarkan saman Pol 257 sebanyak 302 keping atas pelbagai kesalahan dan semasa menjalani pemeriksaan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1987, kita telah berjaya mengesan sebanyak 5 tangkapan adalah positif dadah.

“Lima individu yang positif dadah akan diambil tindakan seterusnya oleh pihak siasatan narkotik IPD dan juga daripada AADK.

“Untuk makluman semua, operasi adalah dirancang bagi tujuan kita membanteras aktiviti samseng jalanan yang telah mendapat banyak aduan daripada penduduk setempat yang telah menganggu ketenteraman awam,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas operasi itu di Unit Penguatkuasaan Trafik Chamberlain Hulu, Ipoh pada Ahad.

Menurutnya, mereka turut berjaya menahan empat individu di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya.

Abang Zainal Abidin berkata, semakan pihaknya juga mendapati terdapat motosikal yang telah diubahsuai ke satu tahap membahayakan penunggang sendiri dan pengguna jalan lain.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya, khususnya golongan muda supaya tidak menggunakan jalan raya sebagai tempat untuk beradu kelajuan motosikal.