LENGGONG: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyambut baik titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam menyokong usaha kelestarian alam.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, titah baginda itu bertepatan dengan kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna di bawah NRES dan selaras dengan Pelan Hala Tuju Kelestarian
Plastik Malaysia 2021-2030.
“Patik menjunjung titah Tuanku sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak Yang Ke-15 pada 23 Februari 2024 mengenai arahan untuk mengamalkan budaya hidup lebih lestari dengan mempergiatkan kempen “Tidak Menggunakan Plastik Sekali Guna” dalam kalangan rakyat Negeri Perak.
“Ini berikutan usaha rintis oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang tidak membenarkan pelajar di sekolah agama berasrama penuh di negeri ini untuk menggunakan botol dan bungkusan plastik bagi makanan dan minuman,” katanya ketika berucap pada majlis pemasyhuran Lenggong Geopark dan perasmian Galeri Lenggong Geopark di Dataran Kota Tampan, di sini, hari ini.
Nik Nazmi berharap agar usaha itu akan diperluas kepada semua agensi di seluruh negeri Perak khususnya dan seluruh negara secara amnya.
Beliau juga berharap, semoga dengan pemasyhuran Lenggong Geopark, akan menambahkan semangat seluruh warga Lenggong serta semua pihak terlibat untuk bersama-sama menggembleng tenaga memelihara serta meningkatkan kelestarian Lenggong.
Dalam masa sama, katanya, semua pihak harus bekerja keras ke arah mencapai matlamat mengangkat
Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark.