TANJUNG MALIM: Seramai 4,063 pelajar baharu dari seluruh negara mula mendaftar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi pengambilan Oktober sejak Sabtu.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam kenyataannya mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya melanjutkan pengajian di universiti pendidikan tersohor tanah air itu.
Beliau berharap semua pelajar memberi fokus kepada komitmen membina ilmu dan meningkatkan pelbagai kemahiran sebagai persiapan menjadi pendidik yang berwibawa.
Ketika sesi pendaftaran di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir turut menghubungi secara panggilan video seorang pelajar baharu, Nik Mohamad Alis Nik Ab Rashid yang bakal mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Rumah Tangga hidup bersendirian tanpa ibu bapa sejak berusia 17 tahun.
Beliau menasihat Nik Mohamad Alis agar tetap bersemangat belajar walaupun menghadapi ujian berat.
Prihatin terhadap situasi hidup Nik Mohamad Azli, UPSI menerusi
Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) menyediakan bantuan yuran pendaftaran dan pengajian.
Selain itu, Yayasan Perkasa Siswa(YPS), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi turut memberi bantuan pendidikan awal kepada 15 pelajar baharu UPSI yang berada dalam kategori B40 dan memerlukan bantuan kewangan untuk mendaftar.
Masing-masing menerima sumbangam RM1,000 bagi memastikan pengajian mereka dapat dimulakan seperti pelajar baharu yang lain.
Zambry menasihati semua pelajar agar belajar rajin-rajin dan berharap UPSI akan terus membantu mereka yang menghadapi masalah kekangan kewangan bagi memastikan kebajikannya terjaga sepanjang pengajian.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, proses pendaftaran berjalan lancar dengan kerjasama 180 sukarelawan Rakan Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (MILLENIA) bersama Bahagian Keselamatan UPSI.
Menurutnya, pelajar baharu dijadualkan mengikuti Minggu Orientasi pada Isnin dan Selasa, bertujuan memperkenalkan budaya universiti, ekosistem akademik dan kehidupan kampus, selain membina jaringan persahabatan sesama mahasiswa.


