Nelayan jatuh laut ditemukan maut

Berita Perak

LUMUT: Seorang nelayan ditemukan maut setelah dipercayai terjatuh dari sebuah bot ke dalam laut ketika dalam perjalanan memasuki jeti, pada jarak dua batu nautika dari muara Sungai Burung, Khamis lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, mangsa yang dikenali sebagai Heng Swee Pau, 46, dijumpai komuniti nelayan setempat pada jarak 1.5 batu nautika barat muara Sungai Burung, semalam.

Katanya, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak menerima aduan terbabit, lalu KM Malawali telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mengesan mangsa, namun tidak ditemui.

“Maritim Perak terima maklumat seorang nelayan dipercayai jatuh bot akibat laut yang bergelora.

“Operasi carilamat diaktifkan dengan penglibatan aset dari Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta nelayan setempat.

“Pangkalan Hadapan carilamat (PHC) juga ditubuhkan di jeti nelayan Sungai Burung.

“Sekitar jam 9 pagi semalam, mangsa ditemui maut dan dibawa ke jeti nelayan Sungai Burung bagi pengecaman oleh waris, lalu dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut mengingatkan komuniti maritim untuk mematuhi peraturan serta menjaga keselamatan diri apabila turun ke laut, khususnya ketika cuaca dan keadaan laut tidak menentu.

Selain disarankan peralatan keselamatan khususnya jaket keselamatan berada dalam keadaan baik ketika melakukan aktiviti menangkap ikan sebagai langkah awal menyelamatkan diri daripada kecelakaan di laut sementara menanti pasukan penyelamat tiba.