Nelayan hilang ditemui lemas tersangkut pukat

Berita Perak

PARIT BUNTAR: Seorang nelayan yang dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap ikan seorang diri di laut pada awal pagi Rabu, ditemukan lemas serta tersangkut pada pukat di perairan Tanjung Piandang, Kuala Kurau di sini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, mangsa Mohd Hafifi Harun, 30, ditemui oleh nelayan tempatan yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan.

Katanya, mayat mangsa ditemui lemas sekitar jam 8 pagi pada Rabu.

“Kehilangan itu disedari komuniti nelayan setempat yang kemudiannya melancarkan pencarian segera sebelum pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kurau menerima maklumat rasmi daripada pihak polis dan mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat.

“Hasil kerjasama erat dan kepekaan nelayan tempatan telah membantu mempercepat penemuan mangsa.

“Mangsa dikatakan keluar ke laut sekitar jam 3 pagi dan ditemui lemas beberapa jam kemudian selepas bot miliknya dikesan terapung tanpa pengendali.

“Mangsa ditemui dalam keadaan menyayat hati, tersangkut pada pukat, tidak jauh dari lokasi botnya ditemui,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke jeti berhampiran kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk pengecaman dan dokumentasi.

Tegasnya lagi, tragedi itu sekali lagi membuka mata tentang risiko keselamatan nelayan yang keluar ke laut secara bersendirian, tanpa sebarang sokongan kecemasan atau memaklumkan lokasi kepada pihak keluarga atau rakan.

Maritim Malaysia menyeru semua komuniti maritim supaya mengambil langkah keselamatan sewajarnya seperti memakai jaket keselamatan, menggunakan sistem pemantauan lokasi dan tidak ke laut bersendirian terutamanya pada waktu malam.

Sebarang kejadian kecemasan di laut boleh dilaporkan terus melalui talian 999, WhatsApp ke 011-3525 9919, atau hubungi terus Pejabat Zon Maritim Kuala Kurau di 05- 727 9919 untuk maklum balas segera.