IPOH: Walaupun Syawal sudah berakhir, namun sebuah syarikat swasta di Ipoh mengambil inisiatif untuk menganjurkan rumah terbuka bagi mengeratkan perpaduan kaum yang kelihatan sedikit goyah kebelakangan ini.
Navira Meditech Sdn. Bhd., syarikat penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, baik pulih dan menjual peranti perubatan, juga mahu meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Pengarah Operasinya, L.Indiran berkata, mereka merasa terpanggil untuk menganjurkan rumah terbuka itu untuk mewujudkan suasana lebih harmoni dan kesepakatan antara kaum di Malaysia.
“Kita sebagai rakyat Malaysia sewajarnya mengeratkan perpaduan antara kaum dan menolak sebarang perpecahan.
“Ini antara usaha kita untuk menjadikan negara berbilang kaum ini harmoni,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka di sebuah hotel di Ipoh pada malam tadi.
Menurutnya, pada majlis itu, mereka turut memberikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim.
“Kami harap, ia sedikit sebanyak memberi keceriaan buat mereka yang terbabit,” ujarjnya.
Dalam pada itu, kata Indiran, pihaknya akan meneruskan kerja kebajikan ini dan meraikan pelbagai perayaan bersama-sama golongan sasaran di masa hadapan.
Menurutnya, sebelum ini, mereka telah mengadakan beberapa program CSR yang memberi fokus untuk membantu golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal, orang kurang upaya, warga emas dan pelajar miskin.
Jelasnya, semua program itu dilaksanakan untuk kumpulan sasar dari semua kaum dan agama



