Nanas SG1 diperkenal, ambil masa singkat untuk masak

Berita Perak

LARUT: Nanas varieti baharu Sarawak Gold (SG) 1 yang hanya mengambil masa sembilan bulan untuk masak akan diperkenal bagi melonjak pengeluaran nanas negara.

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata, varieti SG1 yang mula diperkenal tahun ini dijangka dilancarkan secara komersial menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bermula tahun depan.

Katanya, keunikan varieti itu adalah mengeluarkan hasil dua kali dalam tempoh dua tahun.

“Ia mengambil masa sembilan bulan untuk masak berbanding varieti MD2 antara 14 hingga 16 bulan.

“Keupayaan SG1 mengeluarkan hasil dua kali dalam tempoh dua tahun pada tanah yang sama berbanding hanya sekali bagi MD2, memberi kelebihan besar daripada segi produktiviti dan pulangan kepada pekebun.

“Inovasi ini selaras dengan strategi LPNM untuk meningkatkan pengeluaran nanas negara menerusi teknologi moden terutama di Semenanjung Malaysia yang menghadapi kekangan keluasan tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Hari Nanas Malaysia (HANA) Negeri Perak di Selama, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, katanya permintaan terhadap nanas Malaysia tinggi di pasaran antarabangsa dengan keperluan semasa mencecah 4,000 kontena sebulan.

Bagaimanapun kapasiti semasa negara hanya mampu memenuhi 1,700 kontena.

“Bagi menampung keperluan ini, Malaysia perlu meningkatkan kawasan tanaman kepada 40,000 hektar, berbanding hanya sekitar 18,000 hektar pada masa ini.

“Perak kini berada di kedudukan keempat sebagai pengeluar nanas utama negara dan berpotensi besar untuk terus berkembang menerusi rizab tanah pertanian yang luas,” katanya lagi.

Mohd Khairuzamri berkata, negeri ini antara yang aktif merancang peluasan kawasan tanaman bagi tujuan sekuriti makanan dan penglibatan usahawan belia secara langsung dalam sektor ini amat digalakkan.

“Gerik dikenal pasti sebagai kawasan penanaman nanas terbesar di Perak, dengan projek oleh Felda Global Venture (FGV) menyasarkan sehingga 8,000 ekar tanaman,” katanya.