Naik harga: 31 syarikat diarah jawab notis bertulis KPDN Perak

Berita Perak

IPOH: Sebanyak 31 syarikat diarah menjawab notis bertulis yang dikeluarkan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak sepanjang Op Kesal 2.0 yang dijalankan sejak 8 Jun lalu.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamaluddin Ismail berkata, antara sektor yang telah dibuat serahan notis adalah pengangkutan dengan 23 syarikat, sektor bahan binaan (2) serta makanan dan minuman (6)

Menurutnya, sehingga hari ini sebanyak tiga aduan diterima dan syarikat yang dikenal pasti itu telah diminta untuk memberikan penjelasan berkaitan kewajaran menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

“Dua syarikat sektor makanan dan minuman masing-masing di Teluk Intan dan Ipoh, satu syarikat bagi sektor pengangkutan di Taiping juga telah diberi notis,” katanya di sini selepas pemeriksaan dan advokasi di pasar tani Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam pemeriksaan itu sebanyak dua notis bertulis telah diserahkan kepada dua syarikat yang terlibat dalam sektor pengangkutan, makanan dan minuman.

Tegasnya, KPDN Perak dengan kekuatan 164 pegawai dan anggota penguat kuasa di samping 74 pegawai pemantau harga akan terus melaksanakan pemantauan supaya tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barangan dan perkhidmatan ekoran penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan.

“KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti pencatutan pasca pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” ujarnya.

Kamalludin berkata, mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan yang tegas terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.