Nahas trak FRU: 200 pemilik motosikal berkuasa tinggi serah sumbangan RM27,000

Berita Perak

IPOH: Simpati dengan waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Teluk Intan pada 13 Mei lalu, seramai 200 pemilik motosikal berkuasa tinggi tampil menghulurkan sumbangan RM27,000.

Malah, sebahagian besar daripada mereka sanggup meredah perjalanan jauh dari Taiping, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur seawal 7 pagi Sabtu untuk menzahirkan rasa simpati mereka.

Jurucakap Persatuan Amal Tulus Misi Sukarelawan Pulau Pinang (ATMS), Muhammad Arashid Ramli, mereka terpanggil untuk bersama-sama membantu waris kepada perwira negara yang gugur itu.

“Kami berasa simpati dan juga atas dasar solidariti kepada mangsa-mangsa kemalangan dan kami kumpulkan jumlah sumbangan sebanyak RM27,000 dan akan dibahagikan kepada waris-waris sembilan mangsa kemalangan ini.

“Saya ucap terima kasih kepada semua penyumbang-penyumbang, sahabat-sahabat dan juga kami harap sumbangan yang tak seberapa ini dapatlah meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa-mangsa kemalangan yang terlibat,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan itu kepada waris mangsa kemalangan di Unit 5 FRU Sungai Senam, Ipoh, pada Sabtu.

Sumbangan diterima Pegawai Kebajikan Daerah Kinta, Rohana Mohamad Ali @ Salleh dan turut dihadiri Pemangku Pegawai Pemerintah Unit 5, FRU Sungai Senam, DSP Mohamad Amin Mat Yassin.

Selain sumbangan itu, mereka turur menyerahkan sumbangan RM1,000 kepada surau Unit 5 FRU Sungai Senam.

Menurut Muhammad Arashid, antara kelab motosikal berkuasa tinggi yang terlibat dalam program itu ialah ATMS, Salam Taiping, Ipoh Bikers, GPRC dan RP Utara di samping beberapa kelab kecil yang lain.

Dalam kejadian pada 13 Mei lalu, lori yang dipandu lelaki itu bertembung trak yang membawa 18 anggota FRU yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugasan sempena perayaan Chitra Pournami di Teluk Intan.

Akibat kemalangan itu sembilan anggota FRU yang menaiki trak berkenaan maut, manakala sembilan lagi mengalami pelbagai kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan Hospital Raja Permaisuri (HRPB) Ipoh.