GOPENG: Kerajaan negeri sedang meneliti bantuan tambahan bersesuaian untuk disalurkan kepada waris serta anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas tragis di Teluk Intan.
Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Salbiah Mohamed berkata, ia akan dibincangkan bersama Menteri Besar Perak.
“Bantuan awal telah diberikan oleh kerajaan negeri bagi meringankan beban waris dan mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.
“Kita akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan negeri di bawah portfolio saya.
“Kita akan tunggu Menteri Besar untuk mengumumkan bantuan daripada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Consumer Fair & Trade Expo 2025 di Brunei Darussalam yang berlangsung di pekarangan parkir Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Gopeng pada Rabu.
Hadir menyempurnakan pelepasan berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah digerakkan bagi memberikan bantuan awal termasuk sokongan kaunseling kepada ahli keluarga mangsa.
“JKM melalui unit psikologi telah turun padang memberi nasihat dan sokongan emosi kepada keluarga supaya mereka dapat menghadapi situasi sukar ini dengan lebih tenang.
“Kita tahu bukan mudah kehilangan orang tersayang secara tiba-tiba, sebab itu kita sentiasa beri perhatian kepada aspek kestabilan emosi waris,” katanya.
Katanya lagi, sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Negara juga telah diberikan seperti diumumkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Dalam pada itu, dalam majlis berkenaan Salbiah memberitahu seramai 18 usahawan dari Perak akan terlibat dalam pameran tersebut yang berlangsung lima hari bermula 25 Jun ini di International Convention Centre, Berakas, Brunei.
Beliau berkata pihaknya menyasarkan nilai jualan RMI juta sepanjang pameran
itu.
Ia melibatkan produk makanan dan minuman, kesihatan dan kecantikan, kraf tangan, produk tenusu serta bakeri.
Ini merupakan kali pertama kerajaan negeri menyertai pameran tersebut sekali gus memberi peluang kepada usahawan memperluas lagi pasaran produk mereka.



