IPOH: Pemandu bas yang terlibat dalam nahas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Isnin lalu akan didakwa petang ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki berusia 39 tahun itu dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Gerik selepas solat Jumaat.
Menurutnya, pemandu bas itu akan didakwa sebanyak 15 pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 42 akta yang sama.
“Esok lepas (solat) Jumaat akan didakwa di Mahkamah Majistret Gerik,” katanya ketika dihubungi media.
Terdahulu, Noor Hisam berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sekitar jam 5.45 petang Khamis selepas dibenarkan keluar dari hospital.
Menurutnya, suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita menunggu arahan lanjut daripada Pengarah Pendakwaan Negeri sama ada pemandu bas itu boleh didakwa di mahkamah esok atau sebaliknya.
Di pihak polis, kita sudah bersedia,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Lelaki warga tempatan itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Taiping selepas mengalami kecederaan di tangan sejak hari pertama nahas itu berlaku.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Isnin, bas yang membawa 42 penumpang dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki empat sekeluarga di di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim selepas tamat cuti Hari Raya Aidiladha.