Musim perayaan: LKIM jamin bekalan ikan mencukupi

Berita Perak

PARIT BUNTAR: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan di negara ini mencukupi untuk menampung keperluan beberapa perayaan awal tahun inj.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya yang bekerjasama dengan persatuan-persatuan nelayan dan swasta di samping mempunyai stok penimbal bekalaßn ikan sebanyak 1,600 tan metrik.

Menurutnya, turut membantu menjamin bekalan adalah stok yang disimpan pihak swasta lain yang bergerak sendirian dan turut mengimport ikan.

Di samping itu, beliau yakin dengan pemberian kouta tambahan diesel bersubsidi akan memberi galakan kepada nelayan, khususnya di Perak, untuk menangkap lebih banyak hasil.

“Cuma saya nak pesan kepada nelayan supaya jangan menyalahgunakan subsidi minyak ini, gunakan untuk tujuan tangkapan ikan,” katanya kepada pemberita selepas Program MADANI anak nelayan kembali ke sekolah LKIM – Petronas di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Tanjung Piandang, di sini, hari ini.

Beliau juga yakin, sekiranya bekalan ikan yang mencukupi, harganya juga akan dapat distabilkan.

“Sebelum ini lagi kita telah buat persiapan sewaktu berhadapan dengan monsun timur laut, ini musim perayaan pula, insya-Allah bekalan ikan cukup,” ujarnya.

Beliau mengulas mengenai bekalan ikan sempena beberapa perayaan yang berturut-turut, bermula Tahun Baharu China, Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Terdahulu, Muhammad Faiz mengumumkan tambahan kouta sejuta liter diesel bersubsidi untuk nelayan Perak.

“Tangkapan ikan paling tinggi (di Malaysia) ialah di Perak, jadi kita berikan sokongan kepada nelayan di negeri ini,” tambahnya.

Menurutnya, pemberian itu akan bermula Februari ini dan adalah tambahan akan kepada 19 juta liter kouta sekarang.

Seramai 130 orang anak nelayan menerima bantuan peralatan sekolah bernilai RM 150 setiap seorang.