‘Moh Handei Bahasa’ tangani isu pelajar SJKT sukar berkomunikasi bahasa Melayu

Berita Perak

IPOH: Modul ‘Moh Handei Bahasa’ (Mahabah) dibangunkan bagi menangani isu pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang sukar berkomunikasi dalam bahasa Melayu setelah melangkah ke sekolah menengah.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Aspirasi dan Pembangunan Integrasi Kebangsaan (Nadi), Dr S. Shanmuga Velu, pihaknya menyasarkan modul itu kepada guru khususnya ketua panitia bahasa Melayu dari SJKT di Perak.

Katanya, Mahabah dihasilkan oleh Nadi dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

“Modul ini dibangunkan oleh sekumpulan siswa guru dari IPG Kampus Ipoh dengan major bahasa Melayu serta dibantu pensyarah dan JPN Perak.

“Idea ini timbul apabila kami mendapati ramai pelajar dari sekolah Tamil menghadapi masalah berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu.

“Ia berlaku apabila mereka melangkah ke sekolah menengah, modul ini dapat jadi panduan kepada guru yang kebanyakannya bukan dari opsyen bahasa Melayu.

“Modul ini fokuskan kepada lisan tutur, membaca dan menulis, aktiviti itu bagi memastikan pelajar Tamil dapat menguasai bahasa Melayu dengan berkesan bila ke sekolah menengah nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Modul Pengajaran Bahasa Melayu SJKT ‘Moh Handei Bahasa’ (Mahabah) di IPG Kampus Ipoh pada Selasa.

Hadir sama merasmikan, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin.

Sementara itu, Mohamad Hamidi berkata, modul itu tepat pada masanya kerana ia bukan sekadar bahan pengajaran biasa.

Tetapi menjadi panduan praktikal dan inovatif untuk membantu guru melaksana pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara efektif dan menyeronokkan.

“Bahasa ini perlu terus dimartabat, tidak hanya dalam kalangan penutur asli, tetapi juga rakan-rakan kita dari kaum lain.

“Bahasa ialah jambatan perpaduan, dan usaha ini harus kita pupuk bermula dari bangku sekolah.

“Mempelajari sesuatu bahasa baharu tidak pernah mudah, terutamanya bagi murid di SJKT.

“Cabaran bertambah apabila guru-guru bahasa Melayu di SJKT tidak mempunyai latihan khusus atau opsyen dalam subjek ini,” katanya.

Tambahnya, modul itu merangkumi pelbagai pendekatan kreatif, termasuk aktiviti berasaskan permainan, kaedah komunikasi interaktif, dan strategi penilaian yang menyeronokkan.

“Semua ini adalah usaha yang sangat baik bagi memastikan pembelajaran tidak menjadi beban, tetapi satu pengalaman yang menggembirakan buat murid.

“Kerajaan negeri komited menyokong usaha seperti ini. Anak-anak hari ini merupakan pemimpin masa depan, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran dunia yang semakin mencabar,” katanya.