MIC sedia kerjasama dengan mana-mana pihak demi kelangsungan parti

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: MIC mengumumkan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, demi kelangsungan parti itu untuk membela nasib masyarakat India.

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, mereka juga akan membuka ruang untuk berbincang dengan parti-parti lain.

Menurutnya, sebagai pemimpin, beliau harus membuat keputusan yang sepatutnya untuk kebaikan parti.

“Saya telah membuat keputusan untuk membuka ruang perbincangan dengan parti-parti lain. Ini adalah keputusan kita.

“Kita dah buat dan kita akan berjumpa. Kalau itu yang akan membuat untuk kebaikan parti, saya akan buat apa juga yang perlu untuk mengukuhkan kedudukan MIC,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen MIC Perak di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu, Sungai Siput pada Sabtu.

Hadir sama Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M Ramasany.

Dalam masa sama, Vigneswaran berharap pemimpin parti lain, khususnya yang berada di dalam kerajaan agar tidak memperlekehkan usaha mereka.

Beliau memberi jaminan akan terus memberi kerjasama kepada Kerajaan Perpaduan seperti komitmen yang diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita dah beri komitmen kita kepada PMX, akan bagi kerjasama selama lima tahun.

“Banyak perkara yang kita boleh buat, kalau dia tak berhenti (mengata MIC), kita tahulah apa nak buat,” tegasnya merujuk kepada kenyataan seorang wakil rakyat.

Dalam pada itu, Vigneswaran mahu ketua-ketua cawangan MIC di seluruh negara supaya aktif agar mudah berurusan dengan akar umbi