MIC Perak sasar 200,000 ahli dalam masa dua tahun

Berita Perak

IPOH: MIC Perak menyasarkan untuk menambah bilangan ahli sehingga mencecah 200,000 orang dalam tempoh dua tahun.

Pengerusinya, Tan Sri M Ramasamy berkata, ketika ini jumlah keahlian MIC di Perak hanya sekitar lebih 100,000 orang.

Menurutnya, pertambahan keahlian itu sangat penting sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kita akan meningkatkan jumlah cawangan dan ahli-ahli MIC di Perak dan kita mahu tambah ahli-ahli yang berusia 18 tahun.

“Perkara ini bukan mudah kerana jumlah pengundi India di Perak ketika ini kira-kira 249,000 dan akan datang mungkin 280,000 orang dengan tambahan pengundi baharu,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Konvensyen BN Negeri Perak 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini, hari ini yang disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Dalam pada itu, Ramasamy berkata, MIC akan berbincang dengan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri serta menteri berkaitan mengenai beberapa permasalahan melibatkan masyarakat India.

Menurutnya, antara isu yang banyak diterima termasuklah peluang lebih ramai pelajar India yang cemerlang untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Katanya, selain itu masalah sama turut berlaku bagi lepasan matrikulasi yang perlu ditingkatkan lagi kuota.

Beliau berkata, isu kekurangan pengambilan kakitangan awam dalam kalangan masyarakat India juga turut diminta untuk ditangani oleh kerajaan.

Beliau berharap isu-isu tersebut dapat diselesaikan bagi membantu mengembalikan keyakinan masyarakat India kepada MIC.