TAPAH: MIC mahu isu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz diselesaikan secara berhemah dalam semangat Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan berkata, MIC bimbang jika isu itu gagal ditangani, ia akan menjadi lebih besar sehingga boleh melemahkan BN.
Menurutnya, walaupun isu itu dilihat sebagai isu UMNO, tetapi ia juga sebenarnya adalah isu BN kerana mereka dilantik atas kapasiti BN, bukan atas tiket parti masing-masing.
“Saya serah kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional sebab MIC berpendapat perkara ini perlu ditangani secara berhemah supaya perkara itu tidak jadi isu besar untuk menjatuhkan Barisan Nasional.
“Kita lihat, perkara-perkara yang sedang berlaku lagi melemahkan BN dan pucuk pimpinan parti harus memikir sebagai pemimpin Barisan Nasional, bukan sebagai pemimpin parti sebab apa yang kita ada bukan kepunyaan mana-mana parti tapi ini adalah sebagai gabungan Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup pertandingan bola sepak 7 sebelah di Stadium Mini Tun Ahmad Sarji, Tapah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, jika isu ini tidak ditangani dengan betul, ia juga boleh menjadi titik permulaan satu lagi episod lompat parti.
Walaupun belum ada perbincangan di kalangan pucuk pimpinan BN, beliau percaya mereka mampu menyelesaikan isu Tengku Zafrul itu secara berhemah.
Pada Jumaat, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO bagi menyertai PKR.
Tindakannya itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada Presiden UMNO, Datuk SeriAhmad Zahid yang juga Pengerusi BN yang meminta agar kekosongan jawatan menteri yang ditinggalkan Tengku Zafrul dikembalikan kepada UMNO kerana lantikan berkenaan dibuat atas kuota parti itu.
Ahmad Zahid pada Sabtu mengesahkan bahawa Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan telah menerima surat rasmi berhubung peletakan jawatan Tengku Zafrul.
Dalam masa sama, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Tengku Zafrul untuk menyertai parti berkenaan.



