MIC anggap Himpunan Turun Anwar suatu ‘wake up call’

Berita Perak

TAPAH: Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di Dataran Merdeka pada Sabtu tidak wajar dipandang ringan oleh pihak Kerajaan Perpaduan walaupun penyertaan daripada masyarakat India sangat kurang.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, kehadiran masyarakat India yang kurang bukan bermakna mereka bersetuju sepenuhnya dengan apa yang sedang berlaku dalam negara.

Menurutnya, himpunan yang berlangsung semalam harus dilihat secara menyeluruh dan menyedarkan kerajaan mengenai tahap kepuasan rakyat ketika ini.

“Pendirian MIC memang bukanlah menyertai himpunan semalam dan saya lihat dari segi penyertaan masyarakat India memang kurang.

“Tetapi ini tidak bererti masyarakat India seratus peratus bersetuju apa yang berlaku di negara ni, mereka boleh menjadi ‘silent majority’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan laman web Tapahku Sayang di Dewan Merdeka Tapah, pada Ahad.

Beliau mengulas bilangan penyertaan masyarakat India yang sedikit pada Himpunan Turun Anwar di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Mengulas lanjut Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah menganggap himpunan semalam sebagai ‘wake up call’ kepada Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, kerajaan tidak sepatutnya terlalu selesa dengan sokongan yang diperolehi ketika ini.

“Jangan kita selesa sangat, yang turun (himpunan) semua Melayu, masyarakat India tak turun, maka masyarakat India berpuas hati, tidak, mungkin mereka diam,” ujarnya.

Beliau berharap kerajaan tidak harus mengulangi kesilapan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terlalu selesa.

Tegasnya, jumlah kehadiran bukan ukuran sebenar terhadap sentimen rakyat, kerana apa yang penting ia menampakkan rakyat tidak berpuas hati.

Dalam perkembangan lain, Saravanan menjelaskan pelancaran laman web Tapahku Sayang bertujuan memudahkan rakyat di kawasan Parlimen Tapah mendapatkan maklumat dan bantuan tanpa perlu melalui saluran parti politik.

Katanya, portal tersebut diwujudkan bagi memastikan tiada mana-mana pihak, khususnya bukan ahli parti, terpinggir daripada bantuan yang disediakan wakil rakyat.

“Kita dapati ramai yang tidak tahu mengenai program dan bantuan yang disediakan kerana mereka tidak berada dalam radar parti.

“Melalui laman ini, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) atau individu boleh mohon secara langsung. Contohnya, bantuan kematian atau bantuan kewangan untuk anak masuk IPT. Maklumat akan terus sampai kepada pejabat Parlimen dan ADUN,” jelasnya.

Tambah beliau, inisiatif itu adalah yang pertama seumpamanya di Perak dan boleh dijadikan contoh kepada kawasan Parlimen lain.

Saravanan berkata, pendekatan ini juga akan menjimatkan masa dan tenaga rakyat yang sebelum ini terpaksa hadir sendiri ke pejabat wakil rakyat untuk mendapatkan bantuan.