BUKIT GANTANG: Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini, lokasi jualan murah di Perak menjadi tumpuan orang ramai kerana harga barangan yang ditawarkan jauh lebih murah daripada biasa.
Antara lokasi jualan pada Rabu ialah Program Jualan Rahmah di Dataran Bandaraya Ipoh dan Program Jualan Murah Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang.
Orang ramai yang ditemui di Bukit Gantang mengakui mereka sanggup beratur panjang seawal jam 7 pagi untuk mendapatkan mendapatkan ayam, daging serta keperluan lain pada harga yang murah.
Pesara swasta, Azahari Abd Aziz, 63, berkata, dia membeli 40 ekor ayam serta barangan keperluan untuk disedekahkan kepada 20 orang asnaf di kampungnya.
“Program ni amat baik sekali sebab apabila Hari Raya ni, ramai masyarakat yang kurang kemampuan, apabila ada jualan macam ni dia dapat mengurangkan bebanan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.


Seorang suri rumah, Roszie Nazra Abd Razak, 47 pula berkata, harga jualan yang ditawarkan sangat murah berbanding di kedai biasa.
“Jualan dia berbeza daripada harga dekat luar. Ayam dekat sini, jualan dia paling murah, RM7 sekilo, selalu dekat luar kita akan beli RM8.60 atau RM8.90 sekilo.
“Lepas tu daging pun sama juga, hari ni jualan cukup murah, daging cuma RM24 ringgit saja sekilo, batang pinang pun murah RM 30 saja sekilo,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pihaknya menyediakan 2,000 ekor ayam dan 12 ekor lembu untuk dijual dalam program hari ini.


“Jualan murah ini tanpa subsidi, kalau ada subsidi, kos mungkin jadi lain.
“Ini semua usaha kita. Kita beli banyak-banyak supaya dapat harga murah, kalau beli sikit, tak dapat harga murah.
“Jadi bila kita beli banyak, kita dapat diskaun dan kita salurkan kepada rakyat yang nak beli, ini kaedah yang kita buat,” kataya.
Ketua Jualan Daging, Mohd Zaile Abdullah, pula berkata, mereka memulakan proses jualan sejak jam 5 pagi dan menjelang jam 9.30 pagi, daging tujuh ekor lembu telah habis dijual.







