Mekanik dilepas, dibebaskan tuduhan edar, miliki dadah, racun

Berita Perak

IPOH: Seorang mekanik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, pada Rabu atas dua pertuduhan mengedar dadah dan memiliki racun, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Bhupindar Singh a/l Gurcharan Singh membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, S. Raja, 45 tahun.

Dalam penghakimannya, Datuk Bupinder berkata keputusan itu dibuat setelah mahkamah meneliti fakta kes, eksibit, keterangan Orang Kena Tuduh (OKT) dan saksi pembelaan selain meneliti semula keterangan saksi di peringkat pendakwaan.

Bhupindar dalam ringkasan alasan penghakimannya berkata terdapat keterangan yang bercanggah diberikan oleh saksi pendakwaan kes yang justeru melihat wujud kelompongan, selain melihat kepada siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat kes dibuat secara sambil lewa.

Raja sebelum ini didakwa atas dua pertuduhan mengedar bahan disyaki dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 76.68g; selain pertuduhan memiliki racun nitrazepam seberat 4.14g.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan dalam sebuah bilik di sebuah rumah di No. 122, Persiaran Sg. Pari Timur 14, Taman Mas Falim, Ipoh kira-kira 8 malam 22 November 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama, dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (Disemak 1989) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) Akta sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, J. Matthews dan Farhan Fadzil.

Mahkamah memerintahkan agar semua barang kes peribadi tertuduh dipulangkan kepadanya manakala semua barang kes pendakwaan dipulangkan kepada pegawai penyiasat untuk dilupuskan.