MBOR: 12,000 kanak-kanak enam tahun sertai program Haji Cilik Mega 2025

Berita Perak

IPOH: Hampir 12,000 kanak-kanak berusia enam tahun dari seluruh negara mengambil bahagiah dalam Program Haji Cilik Mega 2025 yang diadakan pada Rabu dan Khamis.

Program anjuran Little Caliphs International Sdn Bhd (LCISB) itu menerima pengiktirafan kali kedua Malaysia Book Of Records (MBOR) “Penyertaan Serentak Terbesar Kanak-kanak Untuk Simulasi Ibadah Haji”.

Ketua Pegawai Eksekutif LCISB. Datuk Roslan Nordin berkata, program itu melibatkan lebih 400 tadika Little Calips seluruh negara.

“Melalui kaedah project base learning sejak sebulan sebelum acara kemuncak pada hari ini, anak-anak ini telah didedahkan tentang beberapa aspek yang berkaitan dengan Haji yang dalam itu ada elemen-elemen pembelajaran dan sesuai untuk spiritual mereka, untuk intelektual mereka, untuk fizikal mereka, untuk emosi dan sosial mereka.

“Ia juga menggabungkan pelbagai tunjang pembelajaran di samping tunjang kerohanian, ada tunjang bahasa, tunjang matematik, sains, art and craft dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program itu di Intitut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di Ipoh, pada Rabu.

Menurutnya, program itu antara lain bertujuan untuk mendedahkan kepada generasi baharu mengenai
keagungan setiap perintah Allah.

Katanya, seramai 1,300 guru bertindak sebagai mutawif yang membimbing para peserta program tahunan kali yang ke-12 itu.

Pada tahun 2017, program sama yang disertai 5,684 kanak-kanak daripada Tadika Little Caliphs di seluruh negara menerima pengiktirafan MBOR kerana “Penyertaan Serentak Terbesar Kanak-kanak Untuk Simulasi Ibadah Haji”.