MBI rai ketua biro media berbuka puasa

Berita Perak

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meneruskan tradisi menjalin hubungan baik dengan media yang banyak membantu melancarkan lagi perkhidmatan mereka kepada warga Ipoh.

Kali ini mereka meraikan ketua-ketua biro media tempatan di Miker Singnature, Medan Gopeng pada Rabu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, majlis itu diadakan dengan kerjasama
Syarikat TLB Enterprise & Management.

“Saya yakin hubungan erat antara MBI bersama rakan media massa akan terus berkekalan demi kesejahteraan Bandaraya Ipoh.

 “Ia secara tidak langsung juga akan memberi peluang kepada saya untuk lebih mengenali serta mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita,” katanya ketika berucap di majlis itu.


Menurut beliau, MBI sentiasa mengimarahkan bulan Ramadhan dengan pelbagai program seperti majlis berbuka puasa meraikan anak yatim, pemilihan pakaian raya untuk anak yatim serta menjalankan morei di masjid dan surau sekitar Bandaraya Ipoh.

Rumaizi merakamkan penghargaan kepada pihak Syarikat TLB Enterprise & Management yang telah bersama MBI dalam penganjuran majlis itu, dalam menghargai peranan media di Bandaraya Ipoh khususnya negeri Perak amnya.

Beliau berharap lebih banyak lagi syarikat tampil dalam menjalankan program yang memberi manfaat kepada rakan media massa.
 

Beliau juga amat mengharapkan majlis itu akan menjadi platform untuk memupuk kerjasama yang lebih erat dengan rakan media untuk kepentingan wargakota secara menyeluruh.

Menurutnya, ia amat penting dalam mempertingkatkan persefahaman yang baik antara kedua-dua pihak.
 

Pada masa yang sama juga, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan media di Ipoh yang telah memberikan kerjasama yang amat diharapkan kepada MBI selama ini.

Beliau mengakui media di Ipoh banyak mengeluarkan kenyataan seimbang tentang Bandaraya Ipoh bagi mendapat gambaran sebenar agar tidak dikelirukan oleh mereka yang mengambil peluang untuk mempolitikkan sesuatu isu.
 

 Beliau memberitahu, MBI telah mengatur pelbagai program bersama media, antaranya, perlawanan sukan persahabatan, lawatan dan kemuncaknya, Malam Media 2024.