IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus memperkukuh hala tuju pembangunan bandar raya melalui pelaksanaan Bengkel Pelan Strategiknya selaras dengan visi menjadikan Ipoh sebagai Bandar Wilayah Pintar berteraskan Ekosistem Mampan dan Bestari Sejahtera menjelang tahun 2030.
Dalam perasmian bengkel tersebut, kepimpinan MBI menegaskan bahawa Pelan Strategik MBI 2021-2030 bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya menjadi kompas pembangunan bandar raya yang menyeluruh, mampan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, pelan itu turut disokong oleh beberapa penandaarasan utama antaranya
Ipoh sebagai Bandar Raya Terbersih di Malaysia (2023);
Bandar Raya Pelancongan Utama Negara (2025); penyediaan infrastruktur digital dan fizikal terbaik (2027); Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon (2030) serta Bandar Bestari Sejahtera dan Bandar Berpendapatan Tinggi (2030).
“MBI turut mengangkat aspirasi Kerajaan Negeri Perak dalam memastikan setiap pelaksanaan pelan strategik diterjemahkan kepada tindakan yang benar-benar dirasai oleh wargakota,” kata kenyataan itu.
Memetik kata-kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bahawa rakyat menilai kejayaan melalui apa yang mereka rasa, bukan apa yang mereka baca,
MBI memberi penekanan bahawa kejayaan bukan diukur melalui laporan semata-mata, tetapi melalui pengalaman harian rakyat terhadap perkhidmatan majlis.
Dalam memastikan semua keutamaan bandar dapat dilaksanakan dengan berkesan, MBI akan memberi tumpuan kepada pengukuhan hasil dan keupayaan kewangan majlis, termasuk melalui tiga pendekatan utama:
1. Memperkemas hasil sedia ada melalui penambahbaikan tadbir urus, pematuhan dan kecekapan proses, khususnya melibatkan hasil perlesenan dan caj pemajuan;
2. Meningkatkan kutipan tunggakan cukai taksir melalui pengesanan, pemutihan data, pelan kutipan berfasa, kemudahan bayaran serta penguatkuasaan berhemah;
3. Meneroka hasil baharu yang lebih mampan melalui inovasi, pendigitalan dan kerjasama strategik untuk memastikan ruang fiskal mencukupi bagi meningkatkan perkhidmatan bandar.MBI turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan yang berjaya memperoleh peruntukan sumber luar pada tahun 2025 daripada pelbagai agensi seperti KPKT, MOTAC, UPEN, Kementerian Ekonomi, MIDA dan lain-lain.
“Pencapaian ini membuktikan MBI sebagai pihak berkuasa tempatan yang proaktif, berdaya saing dan mampu membawa pulang manfaat nyata kepada bandar raya dan rakyat,” ujarnya.
MBI menegaskan bahawa semua pegawai Majlis perlu memahami bahawa peranan di MBI adalah amanah rakyat, dan keutamaan perkhidmatan mestilah berteraskan nilai cepat, telus, mesra dan berintegriti.
Katanya, setiap program yang dilaksanakan juga mesti memberi impak kepada wargakota, bukan tertumpu kepada kepentingan dalaman semata-mata.
Walaupun Ipoh terus bergerak ke arah bandar pintar dan mampan, MBI menegaskan bahawa penilaian rakyat masih bertumpu kepada aspek asas yang paling dekat dengan kehidupan harian.
Menurut kenyataan itu lagi, enam perkara utama yang menjadi “cermin” kepada wargakota ialah:
SAMPAH, JALAN, LONGKANG, RUMPUT, LAMPU dan POKOK.
MBI yakin bengkel itu akan menjadi ruang penting untuk menyelaras keutamaan, memperkemas pendekatan dan menetapkan komitmen bersama supaya MBI bukan sahaja cemerlang di atas kertas, tetapi cemerlang pada pengalaman yang rakyat rasai setiap hari.













