IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melancarkan Pelan Induk Perancangan Pengurusan Lalu Lintas dan Infrastruktur 2023-2033 sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan kesesakan trafik yang sering berlaku di bandar raya itu.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, melalui usaha itu, MBI bekerjasama dengan pihak swasta, bagi melaksanakan kajian berhubung kelancaran lalu lintas di Ipoh.
Menurutnya, antara inisiatif yang sedang dikaji termasuk bagaimana kesesakan lalu lintas di Jalan Tambun dapat diselesaikan melalui penggantian persimpangan lampu isyarat kepada persimpangan laluan pusingan-U.
“Berbanding persimpangan lampu isyarat, persimpangan laluan pusingan-U dilihat mampu membuatkan aliran trafik terus bergerak tanpa perlu berhenti dalam tempoh masa lama.
“Antara antara isu yang sering dikaitkan dengan kesesakan lalu lintas di Ipoh ialah disebabkan dengan persimpangan lampu isyarat (yang banyak),” katanya.
ketika ditemui selepas melancarkan Pelan Induk Landskap Ipoh 2023-2035; Pelan Induk Perancangan Pengurusan Lalulintas dan Infrastruktur MBI 2023-2033; Aplikasi Ipoh Go; Video Korporat MBI serta Video Pelancongan Ipoh, di sini, pada Isnin.
Menurut Sandrea, terdapat enam zon yang dikenal pasti di bawah pelan berkenaan, iaitu Zon A yang melibatkan Jalan Sultan Azlan Shah; Zon B (Jalan Raja DiHilir); Zon C (Jalan Sultan Azlan Shah; Zon D (Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab); Zon E (Jalan Raja Musa Aziz/ Jalan Raja Ashman Shah) serta Zon F (Jalan Sultan Iskandar Shah/Kawasan Pekan Lama Ipoh).
Tambah beliau, kajian pengurusan lalu lintas itu dijalankan secara mikroskopik dan makroskopik dengan penghasilan laporan bertulis serta laporan model simulasi tiga dimensi.
Katanya, ia supaya hasil penambahbaikan dapat dinilai secara realistik dan berkesan untuk menangani isu kesesakan lalu lintas secara bersepadu.
“Melihat kepada keberkesanan lalu lintas di Jalan Tambun, kajian yang dilaksanakan meliputi beberapa aspek termasuk, cadangan keperluan tempat letak kereta bagi kemudahan warga kota dan pengunjung di kawasan-kawasan tumpuan utama.
“Selain itu, turut diadakan kajian pengangkutan awam dengan mencadangkan kaedah penambaikan pilihan mod pengangkutan awam melalui pengintegrasian perancangan guna tanah serta pengangkutan dengan mengambilkira keperluan Orang Kurang Upaya (OKU),” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Sandrea berkata, kerajaan negeri sedia mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung soal pelaksanaan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672.
“Perak mengalu-alukan perbincangan dalam usaha ini, namun kita hendak mengambil kira serta penilaian berdasarkan kepada negeri-negeri lain yang menggunapakai Akta 672.
“Ini kerana, kita hendak pastikan segala terma di bawah akta berkenaan bersesuaian dengan situasi di Negeri Perak,” tambahnya.
Akta 672 antara lain untuk memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan serta pengawalseliaan perkara berhubungan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap, mampan, efektif serta merancakkan ekonomi kitaran.