Masih ada ruang tingkat hubungan akar umbi BN – PH di Tambun

Berita Perak

TAMBUN: Masih ada ruang untuk meningkatkan lagi hubungan baik antara penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di kawasan Tambun.

Pengerusi BN Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, ketika ini hubungan antara penyokong akar umbi kedua-dua parti tidak seakrab hubungan antara pucuk pimpinan.

Bagaimanapun, katanya, BN akan terus memberi kefahaman kepada rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan hari ini perlu disokong, setidak-tidaknya sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Yang ini kita kena jujur, hubungam di peringkat atas nampak lebih selesa dan lebih lancar.

“Di peringkat akar umbi ni, kita berada dalam kerajaan campuran, sekiranya ada program-program yang melibatkan kerajaan bandar ni, kita akan menghantar wakil dan kita menyertai sekadar mana jemputan yang dibuat kepada kitalah.

“Untuk menyatakan hubungan itu akrab sangat pun tak, tetapi kita akur, kepimpinan parti dah buat keputusan, maka sebagai parti yang berada di dalam kerajaan campuran, kerajaan perpaduan, kerajaan bandar ni, kita kena memberi sumbangan kita kepada kerajaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan sempena majlis sambutan Deepavali Barisan Nasional Tambun di MedanKlebang Restu, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, berbeza dengan hubungan antara penyokong parti komponen BN yang telah lama terjalin, hubungan dengan PH masih baharu, hanya selepas terbentuk Kerajaan Perpaduan.

“Kalau kita bandingkan hubungan antara parti-parti komponen BN, kita dah ada satu hala tuju yang sama, kita ada pandangan yang sama dan kita memperbetulkan perbezaan itu cepat.

“Tetapi dengan parti-parti yang baru ni, kita mestilah ada sedikit perbezaan dari segi pengurusan masyarakat dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha UMNO Perak yakin masih ada ruang untuk diperbaiki hubungan itu menjelang PRU16, cumanya ia memerlukan komitmen daripada semua parti.