TAMBUN: Masalah yang menghantui kira-kira 3,000 penduduk enam taman perumahan di Kinding, dekat Tanjung Rambutan setiap kali hujan lebat mendapat perhatian pihak berkuasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, langkah jangka pendek telah diambil dengan menyelia parit berhampiran bagi mengalirkan limpahan air yang turun dari kawasan lombong.
Menurutnya, bagi memastikan kejadian itu tidak berulang, langkah jangka panjang akan diambil dengan membina kolam takungan.
Katanya, pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan bagi laporan, apa kekurangan yang perlu di penambah baik.
“Kepada pengusaha kita minta pastikan dalam seminggu ni lah apa-apa kekurangan harus di penambah baiklah supaya tidak berlaku masalah yang sama, tidak mengulangi.
“Saya harap, saya yakin lah dia orang boleh selesaikan masalah ini,” katanya semasa ditemui ketika bersama-sama wakil PTG dan penduduk melawat kawasan lombong kaolin yang dikatakan menjadi punca banjir lumpur.
Baru-baru ini, media melaporkan kira-kira 3,000 penduduk sekitar Kinding terpaksa bersiap sedia dengan penutupan jalan secara ‘semula jadi’ akibat banjir kilat di Jalan Chemor-Tanjung Rambutan.
Antara taman perumahan terlibat ialah Taman Kinding Permai, Taman Kinding Hijauan, Taman Kinding Akasia, Taman Kinding Raya, Taman Kinding Flora dan Taman Kinding Perdana.
Bukan sahaja penduduk setempat bahkan pengguna jalan berkenaan turut berdepan risiko untuk melalui jalan berkenaan kerana air menenggelamkan jalan sehingga sejauh 500 meter dengan kedalaman sekitar satu meter.




