LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak akan terus membuat rampasan ke atas bubu naga dan tidak akan berkompromi dalam mengenakan tindakan ke atas pesalah yang melakukan
aktiviti menyalahi undang-undang itu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berharap, komuniti nelayan lebih cakna dan patuh peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan, dan tidak sesekali melakukan kesalahan yang sama berulang kali di perairan negara.
Justeru, orang ramai, terutamanya komuniti maritim diseru agar terus berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.
Menurutnya, dalam kejadian terbaru, Maritim Perak telah merampas sebanyak 30 set bubu naga di kedudukan sekitar 4.2 batu nautika dari barat daya Pulau Talang, dekat sini, kira-kira jam 9.50 malam tadi.
Mohamad Shukri berkata,
kesemua bubu itu dikesan oleh sepasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang
melaksanakan rondaan di sektor operasi berkenaan dengan penemuan bendera serta
pelampung mencurigakan di lokasi tersebut.
“Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai hampir RM4,000 itu dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Katanya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan itu boleh
dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 ribu atau penjara tidak melebihi dua
tahun atau kedua-duanya sekali.