MAQIS Perak tahan lebih 600kg hasil ikan dari Indonesia

Berita Perak

LUMUT: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Perak telah menahan lebih 600 kilogram (kg) ikan dan isi ketam sejuk beku yang dibawa masuk dari Indonesia di pintu masuk Pelabuhan Lumut, Selasa lalu.

Menurut Pengarah MAQIS Negeri Perak, Mohd Noor Hashim, ikan tersebut dari jenis ikan bawal tambak dan ikan bawal putih.

Katanya, rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM50,000 dan ditemui hasil daripada pemeriksaan rutin yang dilakukan pegawai MAQIS di pintu masuk Pelabuhan Lumut.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ikan bawal dan isi ketam yang diletakkan di dalam peti ikan itu tidak mempunyai premit import sah daripada MAQIS.

“Kesemua ikan bawal dan isi ketam tersebut ditahan bagi siasatan seterusnya oleh pihak MAQIS,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Mohd Noor berkata, barangan tersebut ditahan kerana telah melanggar undang-undang di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Yang boleh disabitkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Tambahnya, bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh dikenakan denda tidak lebih RM150,000 atau dipenjarakan selama tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

“Akta 728 diperkuatkuasa bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas dari ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya lagi.