IPOH: Mangsa banjir di Perak meningkat kepada 4,221 orang daripada 1,346 keluarga setakat jam 6 pagi ini, berbanding 3,711 orang daripada 1,203 keluarga, malam tadi.
Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, mangsa di daerah Manjung turut meningkat kepada 1,705 orang daripada 513 keluarga, berbanding 1,669 daripada 499 keluarga.
Ia diikuti oleh daerah Perak Tengah dengan 846 orang dari 274 keluarga, Hilir Perak 681 orang dari 220 keluarga dan Bagan Datuk 597 orang daripada 196 keluarga.
“Di Muallim pula terdapat seramai 169 orang dari 49 keluarga, Larut Matang dan Selama 152 orang dari 52 keluarga, Kuala Kangsar 68 orang dari 41 keluarga dan Batang Padang 3 orang dari sebuah keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, kesemua mereka ditempatkan di 43 buah pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah sebuah berbanding malam tadi.
Katanya, Manjung mencatatkan bilangan PPS paling banyak iaitu 15, diikuti Perak Tengah (9), Hilir Perak (6), Bagan Datuk (4), Larut Matang dan Selama (4), Muallim (3) dan masing-masing sebuah di Kuala Kangsar dan Batang Padang.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat berterusan berlaku di Kerian serta Larut Matang dan Selama hari ini, selain hujan berterusan di Hulu Perak dan Manjung.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan laluan FT005 Jalan Jelapang-Ipoh-Ayer Tawar
ditutup sepenuhnya di kedua-dua arah berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu yang akan menyebabkan risiko kepada pengguna jalanraya.
Penutupan itu dijangka sehingga Ahad ini, atau sehingga cuaca stabil dan jalan selamat digunakan semula.









