Manfaat pelbagai perayaan, perkukuh perpaduan – Kulasegaran

Berita Perak

IPOH: Semua pihak perlu memanfaatkan pelbagai perayaan yang disambut di negara ini untuk memperkukuhkan semula perpaduan di kalangan rakyat yang dilihat sedikit longgar ketika ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, sejak kebelakangan ini, berlaku sedikit ketegangan di kalangan segelintir kumpulan.

Menurutnya, ketegangan yang berlaku tidak akan menguntungkan mana-mana pihak dan perlu diredakan oleh semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita harap rakyat Malaysia dari bangku sekolah, dari sekecil-kecil sampai yang sudah bersara akan fikir apabila kekurangan atau kita lupa perpaduan kita, tengok apa yang berlaku di negara-negara lain, mereka berlawan antara kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ang pau dan limau mandarin kepada 100 warga emas dan orang kurang upaya anjuran Kelab Lions Negeri Perak di pekarangan Rumah Pangsa Kinta Heights Ipoh pada Ahad.

Kulasegaran turut menyarankan agar budaya rumah terbuka disemarakkan kembali kerana mampu menjadi platform untuk merapatkan perpaduan.

Sementara itu, Presiden Kelab Lions Negeri Perak, Dr Richard Ng pula berkata, sejak dari dahulu, pihaknya menganjurkan pelbagai program, termasuk sambutan Tahun Baru Cina, dengan melibatkan pelbagai kaum.

“Program kita berlainan sikit, kita nak ketengahkan satu semangat muhibbah di kalangan semua kaum.

“Pasal tu bila kita buat program, walaupun yang ni Tahun Baru Cina tapi kita juga bawa kaum-kaum lain, bukan bagi pada Cina aje sebab kita mahu semangat sambutan ni kena sampai pada masyarakat lain,” ujarnya.

Menurutnya, selain memberi sumbangan, pihaknya juga mahu menyampaikan mesej kepada dunia luar bahawa Malaysia mempunyai pelbagai masyarakat yang boleh hidup muhibbah.