MAIPk bantu bawa pulang lebih 200 kitab ulama Nusantara

Berita Perak

IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan membantu pelajar tajaannya, Muhammad Nur Hadi Salehuddin di Universiti Al-Azhar membawa pulang lebih 200 khazanah kitab turath tulisan ulama Nusantara dari Mesir semenjak tahun 1920.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, naskah-naskah tersebut bakal ditempatkan di Perpustakaan Penyelidikan MAIPk.

“Pihak MAIPk juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan kelestarian khazanah berharga ini terus berkekalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Nur Hadi merupakan penuntut tahun empat Universiti Al-Azhar, Mesir di dalam bidang Usuluddin pengkhususan Pengajian Hadis.

Anak kelahiran Padang Rengas itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Perempuan, Padang Rengas sebelum menyambung pelajaran ke Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Addiniah, Changkat Jering dan SABK Maahad Al-Yahyawiah, Padang Rengas sehingga ke peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Beliau mula mengumpul karya turath tulisan ulama Nusantara sejak tahun 2020 termasuk karangan Syeikh Mohd Idris Al Marbawi dan Syeikh Jaafar Hussein yang kebanyakannya ditulis dalam tulisan jawi dan Aceh dari sekitar tahun 1920-an hingga 1960-an.

Karya-karya tersebut diperolehi daripada Maktabah Mustafa al-Halabi, salah satu syarikat percetakan dan penerbitan tertua di Mesir.

Sepanjang menjejaki karya ilmiah tersebut, beliau telah membelanjakan hampir RM20,000 dan kini memiliki lebih kurang 200 karya dan tulisan dalam simpanan beliau.

Menerusi panggilan telefon bersama Syamsul Hazeman, Muhammad Nur Hadi telah menyatakan hasrat bahawa beliau memerlukan dana untuk menambah koleksi karya-karya seumpamanya daripada sumber-sumber yang lain termasuk daripada maktabah-maktabah di sekitar Masjid Al-Azhar.

Selain itu, beliau turut menyimpan hasrat untuk berkongsi karya-karya ilmiah nukilan ulama Nusantara tersebut bersama masyarakat di Malaysia melalui galeri khas atau perpustakaan.

Beliau juga bercita-cita untuk menerbitkan karya sendiri yang berkisarkan pemikiran ulama-ulama Nusantara terkenal terutamanya Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi dan Syeikh Wan Ahmad Al-Fattani.

Pihak MAIPk menyambut baik hasrat murni tersebut dan bersedia meniliti sebarang bentuk sokongan dan kerjasama demi kebaikan semua pihak.