MAIPk angkat seni, adat melalui berzanji, marhaban

Berita Perak

IPOH: Majlis Agama Islam dan ’Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak telah menganjurkan Pertandingan Barzanji dan Marhaban Peringkat Negeri Perak di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Barzanji dan Marhaban merupakan seni tradisi Islam yang popular di negeri Perak, lazimnya dipersembahkan dalam majlis keagamaan seperti Maulid Nabi, akikah, menyambut kelahiran bayi, berkhatan, cukur jambul, dan majlis perkahwinan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, majlis turut diserikan dengan acara cukur jambul dua orang bayi, yang disempurnakan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan isteri, Puan Sri Datin Seri Zavirah Shaari.

Menurutnya, hadirin kemudiannya diraikan dengan edaran bunga telur sebagai simbol kesyukuran atas kelahiran kedua-dua bayi tersebut.

“MAIPk komited mengangkat dan memelihara adat Melayu seperti Barzanji dan Marhaban agar terus diwarisi bukan sahaja oleh golongan dewasa, tetapi juga generasi muda.

“Pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan bagi menggalakkan penyertaan masyarakat, khususnya belia, dalam warisan budaya ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Syamsul Hazeman, pada peringkat akhir pertandingan, seramai 16 orang belia daripada keseluruhan 67 peserta (24 peratus) telah mengambil bahagian.

Katanya, penglibatan itu merupakan satu permulaan positif yang menunjukkan minat golongan muda terhadap seni Barzanji dan Marhaban.

Ujarnya, Kumpulan Soutul Ikhwan (Taiping) muncul juara manakala Kumpulan Soutul Aula (Taiping) di tempat kedua dan Kumpulan Al-Iskandariyyah (Pengkalan Hulu) di tempat ketiga.

Juara menerima hadiah wang tunai RM5,000 beserta piala manakala tempat kedua menerima wang tunai RM3,000 serta piala dan tempat ketiga menerima RM2,000 serta piala di samping wang tunai RM1,500 untuk saguhati setiap kumpulan.