IPOH: Seniman Diraja Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Datuk Lat berpendapat, lukisan tangan mempunyai nilai seni tersendiri berbanding dengan lukisan yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, lukisan yang dihasilkan dengan tangan walaupun nampak kosong tetapi mempunyai penceritaan di sebaliknya.



Menurutnya, sejak kebelakangan ini, banyak lukisan yang menarik boleh ditatapi hampir setiap hari yang dihasilkan melalui AI.
“Saya tengok lukisan-lukisan yang sungguh menarik dan detail hari-hari keluar boleh ditatapi.
“Tak macam kerja-kerja saya, kerja saya simple, kadang- kadang nampak kosong pun tapi ada cerita ya.
“Jadi kalau terlampau banyak detail pun akan jemu, kita hendakkan ada ruang untuk kita berfikir dan juga ruang untuk otak kita juga mengisikannya, kan?.
“Jadi saya harap banyaklah kita tumpukan kepada kebolehan tangan kita ni,” katanya
Beliau ditemui semasa program khidmat masyarakat, semaian kasih oleh calon anugerah Pandu Puteri Raja 2026 Aysha Zahra Anuar di Maahad Darul Salam, Tambun pada Jumaat.
Beliau mengulas mengenai kesan yang dihadapi oleh pelukis tradisi sejak muncul AI.
Menurutnya, ada manusia yang kelebihan untuk melukis menggunakan tangan dan ada juga yang tidak boleh melukis tetapi pandai menggunakan AI untuk melukis animasi.





