LPPKN sasar 70 peratus kadar responden KPKM-6

Berita Perak

IPOH: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mensasarkan untuk memperolehi sekurang-kurangnya 70 peratus kadar responden daripada Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6) 2024 yang bermula 15 Julai hingga 31 Disember depan.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan LPPKN, Hairil Fadzy Md Akir berkata, bagi mencapai sasaran itu, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri serta agensi-agensi di bawahnya.

Menurutnya, sehingga 8 September, sebanyak 1,615 tempat kediaman telah dilawati, daripada 37,550 yang terpilih di seluruh negara.

“Dari segi kajian yang kita laksanakan, pada siri ke-6 kita telahpun tingkatkan jumlah responden yang perlu kita capai.

“Maksudnya sampel responden yang kita perlukan bagi tahun ni lebih daripada siri sebelum ni.

“Dengan keadaan sekarang ni memang inilah usaha-usaha yang kita laksanakan supaya kita dapat capai kadar responden 70 peratus,” katanya dalam sidang media selepas sesi libat urus dengan kerajaan negeri Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, apabila satu-satu kajian dapat mencapai kadar responden lebih 70 peratus, ia sangat berkualiti dan data-datanya sangat boleh dipercayai serta boleh ditentukan kesahannya.

Hairil Fadzy mengakui keadaan sekarang lebih mencabar disebabkan kewujudan ‘scammer’ yang membimbangkan orang ramai.

“Itulah cabaran yang kita bincangkan tadi, komitmen kerajaan negeri sangat membantu LPPKN.

“Dengan kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pejabat daerah dan penghulu mukim yang mahu sama-sama terlibat dengan kajian ini,” ujarnya.

Tambahnya, kerjasama itu sangat membantu, khususnya dengan mengesahkan kehadiran penemu bual di kediaman responden yang tidak perlu dikhuatiri.

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kerajaan negeri akan memberi kerjasama sebaiknya untuk menjayakan kajian itu.

Menurutnya, daripada 37,550 tempat kediaman yang dikenal pasti untuk dilawati, 2,860 adalah di Perak.