IPOH: Listen Security Sdn Bhd, sebuah syarikat kawalan keselamatan yang mempunyai cawangan di seluruh negara, menyediakan peruntukan tahunan lebih RM100,000 untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pengarahnya, Suhaini Bakri berkata, ia adalah antara sumbangan syarikat untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan, khususnya untuk menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, mereka mengadakan program CSR di tempat-tempat lain sebagai tanda prihatin terhadap golongan berkenaan.
“Di Perak, kita memilih Yayasan An-Nur Maisarah, Chemor kerana di sini terdapat terlalu ramai anak yatim di samping kumpulan asnaf lain juga akan merujuk ke yayasan ini.
“Selain itu, mereka bergerak sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.
“Jadi kami merasakan bahawa inilah peluang, dengan rezeki yang diberikan, kita berkongsi rezeki itu dengan semua anak-anak yatim dan juga asnaf di sini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Ramadan, bersama Yayasan An Nur Maisarah, baru-baru ini.
Turut hadir dua orang pengarah,
Arumugam Sinnasamy dan Azizah Abdul Hamid di samping Pengarah Cawangan Perak, Gobi Ramasamy.
Suhaini berkata, tahun lalu mereka turut mengadakan program di tempat yang sama, selain di beberapa tempat di seluruh negara.
Menurutnya, Listen Security yang mempunyai kira-kira 1,000 orang pekerja di seluruh negara memang sentiasa memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Selain daripada di bulan puasa, kita juga memberikan bantuan, termasuk ketika sambutan Deepavali dan Tahun Baru Cina.
“Disebabkan Malaysia sebuah negara majmuk, kita memberi bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan,” ujarnya.
Listen Security Sdn Bhd yang beribu pejabat di Batu Maung, Pulau Pinang menawarkan perkhidmatan kawalan keselamatan dan mempunyai cawangan di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Menurut Suhaini, mereka mula melaksanakan program CSR sejak tahun 2018, bermula daripada bantuan kepada kelompok yang kecil sehinggalah program yang besar seperti majlis iftar dan sambutan Hari Raya, Deepavali dan Tahun Baru Cina.
“Sebenarnya kami ingin berkongsi rezeki dan memberikan kegembiraan kepada mereka yang memerlukan di mana kegembiraan ini bukan sekadar kewangan tetapi bagi saya dengan kehadiran kita mungkin boleh memberi motivasi kepada mereka,” katanya.










