Liga A1: Perak FA optimis catat kemenangan kedua

Berita Perak

IPOH: Perak optimis mencatat kemenangan kedua menentang Machan FC dalam perlawanan Liga A1 Semi-Pro yang berlangsung di Kompleks Bola Sepak Perak, Chemor, esok.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, ketika ini momentum pasukan amat baik selepas kemenangan pertama menewaskan Perlis GSA FC pada 22 Ogos lalu.

Menurutnya, ia dapat dilihat daripada semangat pemain selepas menjalani beberapa perlawanan termasuk persahabatan antarabangsa baru-baru ini.

“Saya mempunyai harapan tinggi dengan pendedahan yang kita telah beri. Beberapa permainan telah kita lalui.

“Pernah kalah, kita merasakan bagaimana perasaan kalah dan bagaimana perasaan seri dan bagaimana perasaan menang.

“Digabungkan dengan jersi baru, saya rasa ia akan menyebabkan Perak beroleh kemenangan kali ini, insya-ALLAH,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Jersi Perak FA Musim 2025/26 di Ipoh Parade di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam pada itu, Mohd Azhar memaklumkan Perak FA semakin hampir melengkapkan pemain dengan membawa masuk seorang lagi import.

Bagaimanapun, katanya, terdapat isu teknikal yang perlu diselesaikan sebelum pemain tersebut boleh disenaraikan untuk bermain dalam liga.

“Kita mempunyai penyerang, pertahanan yang bagus dan pemain tempatan yang berkualiti.

“Saya yakin gabungan ini akan serasi dan dapat melakukan banyak jaringan dan juga percubaan,” katanya.

Pada 3 September lalu, Perak FA mengumumkan pemain terbaharu mereka, Aliyu Abubakar, 29, dari Nigeria.