Lelaki warga Thailand ditahan, cuba seludup petrol di sempadan Pengkalan Hulu

Berita Perak

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menahan seorang lelaki warga Thailand yang cuba menyeludup keluar minyak petrol Ron95 ke Thailand di Kompleks Imigresen Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, pada Rabu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tangkapan itu selepas pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN Cawangan Gerik mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira yang disyaki cuba menyeludup minyak berkenaan dengan mengubah suai tangki kereta, kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati tangki bahan api kereta tersebut telah diubah suai menjadi lebih besar dari tangki asal dengan anggaran minyak dalam tangki kira-kira 90 liter.

“Seorang lelaki warga Thailand berumur 50 tahun yang memandu
kenderaan ini telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Semakan awal juga mendapati lelaki ini memilik pas sempadan dan kad pengenalan warga Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, kata beliau, kenderaan bersama dokumen pendaftaran kenderaan, peralatan motor pum beserta wayar penyambung bateri dan paip dan lain-lain telah disita untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, nilai sitaan
dianggarkan berjumlah RM 3,184.50 dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.