Lelaki Nepal maut dalam pergaduhan di asrama pekerja, Tun Tun Naing diburu

Berita Perak

PARIT BUNTAR: Seorang lelaki warganegara Nepal maut dalam insiden pergaduhan berkumpulan di asrama pekerja dekat Kuala Kurau, di sini pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusof, siasatan awal mendapati pekerja kilang berusia 28 tahun itu disyaki terbunuh dalam pergaduhan tersebut akibat luka tusukan dari objek tajam.

Katanya, pergaduhan itu berlaku di antara sekumpulan pekerja kilang warga Myanmar dan Nepal, susulan rasa tidak puas hati disebabkan perbuatan membuat bising.

Susulan itu, katanya, seramai 21 orang yang terlibat dalam pergaduhan ditahan bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, katanya, polis mendapati terdapat seorang lelaki warga Myanmar, Tun Tun Naing berusia 38 tahun dipercayai turut terlibat dalam pergaduhan itu telah menghilangkan diri selepas kejadian.

“Pada 18 Ogos, Ahad sekitar jam 12.35 tengah malam, pusat kawalan daerah Kerian terima panggilan mengenai pergaduhan tersebut.

“Sepasukan Polis Daerah Kerian bergegas ke tempat kejadian dan mendapati pergaduhan telah berhenti, namun seorang lelaki warga Nepal telah meninggal dunia.

“Didapati sekumpulan warga Myanmar dan Nepal itu bekerja di sebuah kilang sama yang terletak di Kuala Kurau,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Tambahnya, penama yang diperlukan polis itu dikenali sebagai Tun Tun Naing, merupakan pekerja kilang dan beralamat di No 3448, Batu 13, Jalan Pantai Baru, Kuala Kurau.

Justeru itu, katanya polis memohon bantuan orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat tentang lelaki Myanmar tersebut untuk menghubungi ASP Ambri Mat Nayan di talian 011-1309 2525 atau Insp. Fernandes Bayoi di talian 019-867 3515.

Selain itu boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di talian 05-721 5222 atau balai polis terdekat bagi menyalurkan maklumat lanjut.