Lelaki melecur 70 peratus, rumah terbakar di Ipoh

Berita Perak

IPOH: Seorang lelaki cedera melecur sebanyak 70 peratus dalam insiden kebakaran rumah teres dua tingkat di 58, Persiaran Cempaka Sari 24, Taman Cempaka, dekat sini hari ini.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian berlaku pada jam 10.20 pagi.

Katanya, seramai 20 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Simpang Pulai dan Tambun ke lokasi.

“Rumah tersebut terbakar 30 peratus yang melibatkan bilik di tingkat atas dan terdapat seorang mangsa lelaki di dalamnya.

“Ketika itu, hanya mangsa sahaja yang berada di dalam rumah berkenaan dan tiada pengenalan diri padanya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, ketua operasi mengarahkan anggota menyelamatkan mangsa di tingkat atas dan membawanya turun.

Mangsa diberi rawatan awal oleh EMRS dan dihantar ke Hospital Ipoh untuk tindakan lanjut.

Ujarnya lagi, punca kebakaran masih dalam siasatan.