Lelaki maut, lori ikan bertembung lori tangki

Berita Perak

PARIT: Seorang lelaki maut setelah lori membawa muatan ikan yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori tangki di Jalan Gelung Pepuyu, Bota, di sini pada Rabu.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kemalangan yang berlaku sekitar jam 4.38 petang itu menyebabkan mangsa tersepit dalam lori dan disahkan maut di lokasi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Jamidi Zainuddin dibantu BBP Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia sekitar 40-an tersepit dalam lori muatan ikan dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Komander operasi membuat size up dan mengaplikasikan konsep SAVER serta mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa.

“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.