Lelaki maut disyaki dibaham harimau ketika hendak ke tandas

Berita Perak

GERIK: Seorang lelaki berusia 54 tahun maut setelah disyaki dibaham seekor harimau ketika hendak ke tandas di rumah kongsi dekat Bagan Balak di kilometer (km) 79.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku pada awal pagi Selasa yang disaksikan oleh isteri mangsa.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, maklumat berhubung kejadian itu diterima oleh Pusat Kawalan Daerah Gerik pada 8.25 pagi tadi.

“Seorang lelaki yang bekerja sebagai pengendali jentera berat telah dibaham harimau ketika hendak ke tandas di rumah kongsi, tempat mereka tinggal.

“Kejadian tersebut disaksikan oleh seorang wanita warga Thailand yang merupakan isteri mangsa dan bekerja sebagai tukang masak.

“Semasa mangsa hendak ke tandas, pengadu telah terdengar bunyi harimau mengaum lalu membuka pintu rumah kongsi.

“Pengadu melihat seekor harimau sedang mengheret mangsa ke arah semak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Azizi berkata, pada hari sama, kira-kira 10.30 pagi, Ketua Polis Balai Bersia bersama tiga pegawai rendah polis, dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik serta 10 orang anggota Perhilitan telah ke lokasi kejadian.

Ia bagi menyiasat dan melakukan operasi mencari dan menyelamat.

“Sekitar 12 tengah hari, mangsa berjaya dijumpai kira-kira 100 meter dari rumah kongsi tempat mereka tinggal.

“Mangsa yang maut ditemui dalam keadaan cedera parah di bahagian kaki kiri dan leher,”katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya kes diklafikasi sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Gerik pada 1.30 tengah hari bagi tujuan bedah siasat.