Lelaki jatuh bot, ditemukan lemas di Kuala Sepetang

Berita Perak

TAIPING: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak petang semalam, ditemukan lemas hari ini setelah dipercayai terjatuh dari bot fiber yang dinaiki dekat Jeti Kuala Sepetang, di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Aziz Bakar berusia dalam lingkungan 50-an.

Katanya, mangsa disedari hilang oleh rakannya setelah menjumpai botnya yang hanyut.

“Mangsa dikatakan menaiki bot tersebut untuk keluar bekerja berhampiran perairan laut Kuala Sangga pada Khamis sekitar jam 4.30 petang.

“Rakan mangsa cuba membuat pencarian namun gagal menjumpainya. Mangsa juga dilaporkan mempunyai penyakit tekanan darah rendah dan sering pitam.

“Pihak bomba menerima maklumat pada tengah malam tadi dan meneruskan operasi mencari dan menyelamat hari ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menambah, seramai 14 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Kamunting, Bagan Serai dan Kuala Kurau terbabit dalam operasi berkenaan.

Sabarodzi berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung penemuan mayat mangsa pagi tadi oleh sekumpulan nelayan.

“Ketua operasi bersama dengan anggota menaiki bot nelayan ke lokasi kejadian untuk membuat pengesahan dan mengambil mayat.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.