KAMPAR: Seorang lelaki berusia 42 tahun yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu, ditemukan maut di dalam longkang di Jalan Kampar-Tapah, berhampiran kubur Kristian, dekat sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.25 pagi.
Katanya, mangsa dijumpai di dalam longkang sedalam 1.2 meter itu bersama-sama dengan motosikalnya jenis SYM.
“Mengikut maklumat polis terdapat seorang lelaki Melayu berusia 42 tahun telah hilang sejak tiga hari lalu.
“Pada 1.25 pagi tadi, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar mendapat panggilan kecemasan bagi membantu polis mengambil mayat tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Tambahnya, seramai tujuh orang anggota terlibat dalam operasi berkenaan.
“Ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER.
“Mayat kemudiannya diangkat menggunakan pengusung dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

