Lelaki cedera tersepit lori rempuh belakang treler

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki cedera tersepit setelah lori muatan alat ganti kereta yang dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah treler di kilometer 238.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan hari ini.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan pada 6.33 pagi tadi.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori Isuzu tiga tan membawa muatan alat ganti kereta telah melanggar bahagian belakang sebuah treler.

“Dalam kejadian itu terdapat seorang mangsa lelaki berusia 42 tahun dari lori Isuzu telah tersepit,” katanya pada Khamis.

Katanya lagi, Komander Operasi membuat size up dan mengarahkan anggota menggunakan peralatan pemotong hidraulik dan spreader untuk mengeluarkan mangsa tersepit.

Seterusnya, mangsa diberi rawatan serta dibawa ke hospital menggunakan ambulans dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi yang diketuai PBK II Rosli Alang Ahmad itu tamat jam 7.51 pagi.