Lelaki cedera pacuan empat roda terbabas jatuh masuk gaung

Berita Perak

TAPAH: Seorang lelaki cedera setelah kenderaan jenis pacuan empat roda yang dinaiki terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di Batu 14, Jalan Pahang, di sini awal pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 1.30 pagi.

Seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux terbabas dan jatuh ke dalam gaung.

“Mangsa lelaki itu telah pun dikeluarkan dan dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan Bomba.

“Seramai sembilan orang anggota terbabit dalam operasi tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya lagi, komander operasi kemudiannya membuat size-up dan pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Operasi yang diketuai PBK II Fadzriel Md Noor itu tamat jam 2.26 pagi.