Lebih tiga bulan diperdaya phone scam, simpanan lesap RM1.28 juta

Berita Perak

IPOH: Wang simpanan dan perniagaan sebanyak RM1.28 juta seorang wanita berusia 45 tahun lesap setelah diperdaya dengan kes penipuan dalam talian (phone scam) bagi menyelesaikan kes jenayah tidak wujud sejak hujung tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang bekerja sebagai peniaga pada Rabu, 5 Mac.

Katanya, kejadian berlaku pada 2 Disember tahun lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon dari nombor tidak dikenali.

“Suspek memberitahu kononnya akaun bank mangsa disekat kerana tunggakan hutang kereta.

“Panggilan mangsa seterusnya disambungkan kepada pihak bank dan kemudian dihubungi pula oleh seorang lelaki mengaku dari Bank Negara Malaysia (BNM).

“Suspek berkata mangsa terlibat dengan penggubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, kerana takut, mangsa mengikut arahan diberi dengan membuat tujuh kali pindahan wang secara berperingkat mulai 3 Disember 2024 hingga 10 Februari 2025 ke dalam tiga akaun bank berbeza.

Jumlah keseluruhan sebanyak RM1,285,230 dan suspek berjanji akan menghubungi mangsa semula bagi memulangkan wang, namun tiada sebarang panggilan diterima.

“Susulan itu, mangsa berasa curiga lalu menceritakan perkara tersebut kepada kawannya dan diberitahu mangsa telah ditipu.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah panik dan tidak mudah percaya dengan dakwaan diterima melalui panggilan telefon dari individu tidak dikenali.