Lebih ramai jurulatih, perbanyak atlet taekwondo demi sukan negara

Berita Perak

IPOH: Impian dan visinya jelas, iaitu mahu melahirkan lebih ramai jurulatih taekwondo, bukan sahaja untuk negeri bahkan demi merancakkan sukan itu di Malaysia.

Mengambil pendekatan serampang dua mata, Grandmaster Dr Rajan, 50, yang sudah bergelumang selama 43 tahun dalam bidang itu berkata, ia sekali gus memperbanyak bilangan atlet di masa depan.

Beliau yang merupakan Presiden Kelab Taekwondo Aelma Malaysia memaklumkan, sehingga kini terdapat lebih 5,000 pelajar di tujuh negeri merangkumi 22 jurulatih.

Katanya, di Ipoh terdapat 10 pusat latihan dan 500 pelajar.

“Saya mulai sertai taekwondo sejak usia 7 tahun, saya pernah bermain untuk Perak hampir 12 tahun dan enam tahun untuk Malaysia.

“Majoriti pelajar yang sertai kelab ini berusia di antara 3 hingga 15 tahun.

“Kalau boleh saya nak lahirkan 100 jurulatih daripada kelab ini, sebabnya kita kekurangan jurulatih bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

“Ia akan memberi banyak implikasi positif kepada pembangunan sukan ini di Malaysia, baik dari segi pendapatan, gaya hidup dan lebih maju,” katanya.

Dalam pada itu, kelab itu juga sentiasa menggilap bakat pelajar sehingga berjaya ke Sukan Malaysia (SUKMA).

“Memang setiap kali SUKMA, akan ada atlet dari kelab ini yang terlibat, kira-kira kesemuanya 12 orang, jika mereka mendapat tempat, selalunya akan bermain di peringkat negara,” katanya lagi.

Pada 19 hingga 20 Julai lalu, mereka menyertai Tirak International Taekwondo Championship 2025 di Thailand yang menghimpunkan seramai 2,100 peserta dari sembilan negara.

Seramai lapan orang peserta dari Persatuan Taekwondo Negeri Perak di bawah bimbingan kelab itu terbabit.

Daripada jumlah itu, empat orang mendapat medal emas, enam perak dan lapan gangsa.

Lapan pusat latihan kelab tersebut berada di Batu Gajah, Pengkalan, Silibin, Desa Rishah, Meru, Aeon Klebang, Aeon Kinta City dan Sungai Siput.