Lebih 500 pekebun kecil sawit dakwa alami kerugian, minta SPRM siasat

Berita Perak

IPOH: Lebih 500 pekebun kecil mendakwa mengalami kerugian apabila tanaman kelapa sawit yang mereka usahakan sejak 12 tahun lalu di Sungai Tumboh, Kampung Gajah diceroboh dan dimusnahkan oleh pihak ketiga tanpa persetujuan mereka.

Sehubungan itu, mereka yang juga ahli Koperasi Pembangunan Sungai Tumboh meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat siasatan sebarang kemungkinan salah guna kuasa.

Pengerusi koperasi yang baharu, Mohd Zainol berkata, pihaknya meminta bantuan Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) untuk membantu menyesaikan kemelut yang mereka lalui.

“Pada hari ini saya minta tolonglah kepada MHO supaya perkara ini kita bawa kepada SPRM kita minta SPRM menjalankan tugas dia siasat dengan baik.

“Kalau boleh kita heret siapa yang terlibat dalam perkara yang pada hari ini,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tanah seluas lebih dua ribu ekar itu telah dikeluarkan geran kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

“Isu dia adalah sepatutnya PKNP datang berunding dengan peneroka-peneroka asal atau pekebun-pekebun kecil seperti mana yang telah diminitkan dalam mesyuarat MMK, sebelum nak berikan tanah ni pada PKNP perlu ada penyelesaian berhemah tetapi penyelesaian berhemah tu tidak berlaku.

“Maka akhirnya tanah itu telah diradu tanpa ada perintah mahkamah, disyaki bahawa ada unsur-unsur yang tidak sihatlah,” ujarnya.

Mereka ditemui ketika bersama-sama sebahagian pekebun kecil dan ahli Koperasi Pembangunan Sungai Tumboh yang hadir di pekarangan pejabat SPRM Perak di Ipoh pada Isnin.