IPOH: Lebih 300 penganut agama Hindu memeriahkan upacara pesta Ponggal yang diadakan di Kuil Sri Subramaniar dekat Gunung Cheroh pada Selasa.
Hari Ponggal atau perayaan menuai itu diraikan selama tiga hari berturut-turut bermula hari ini.
Ia sebagai simbolik bagi menzahirkan rasa syukur dan terima kasih di atas hasil lumayan para petani.
Menurut pengerusi Kuil Sri Subramaniar, Seetharaman, orang ramai akan mula memenuhi lokasi tersebut bagi menyempurnakan tradisi memanaskan susu serta beras dalam periuk tanah liat, sebagai simbolik kekayaan dan kebahagiaan melimpah ruah.
“Perayaan akan disambut selama tiga hari iaitu Surya (Matahari) Ponggal, Mathoo (Lembu) Ponggal, Kanni (Gadis Sunti) Ponggal.
“Kuil di sini merupakan yang terbesar di Perak dan kebanyakan aktiviti memang meriah dengan kunjungan ramai penganut.
“Manisan yang dimasak hari ini akan diagihkan kepada penganut yang hadir ke sini untuk upacara sembahyang,” katanya.
Sementara itu, S.Kameshwari yang hadir ke situ untuk meraikan Ponggal berkata, sambutan di kuil tersebut begitu meriah.
Dia turut berharap golongan muda sama-sama memeriahkan perayaan itu dan mendalami adat resam masyarakat India.
“Ikutkan kalander Tamil, hari ini merupakan hari pertama sambutan, saban tahun saya pergi ke kuil lain namun ini pertama kali saya sambut Ponggal di kuil ini.
“Diharapkan anak-anak muda tidak melupakan adat resam serta budaya India, datanglah ramai-ramai bersama keluarga,” katanya.
Selvanesen Krishnan pula berharap supaya tahun ini bakal memberi banyak peluang terbaik dalam apa jua lapangan.
“Kebiasaannya kita akan sambut Ponggal di rumah serta kuil. Tujuannya adalah untuk berterima kasih kepada Dewa Surya atas hasil pertanian.
“Kita berharap tumpuan akan diberikan kepada sumber pertanian bagi memastikan ia dapat meningkatkan hasil ekonomi negara,” katanya.
Ketika beras dan susu yang dimasak dalam periuk tanah liat itu melimpah, mereka akan bersorak ‘Ponggal lo Ponggal’ sebagai tanda kesyukuran.
Ia kemudiannya akan diagihkan kepada saudara dan rakan-rakan yang mengunjungi rumah mereka.



