BAGAN DATUK: Sebanyak 23 buah rumah termasuk kedai makan dan tokong musnah terbakar dalam kejadian awal pagi tadi di Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang di sini.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian berlaku sekitar jam 4.52 pagi tadi.
Katanya, seramai 11 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Teluk Intan serta Pasukan Bomba Sukarela Sungai Tiang digerakkan ke lokasi.
Jelasnya lagi, kebakaran itu merebak dengan pantas susulan keadaan rumah yang berdekatan, selain tekanan air dari pili bomba agak rendah.
“Kemerebakan kebakaran telah menyebabkan 21 buah rumah berkeluasan 20 x 50 kaki jenis kelas B dan C, 1 kedai makan dan 1 tokong turut terbakar.
“Bagaimanapun, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran ini.
“Pada jam 7.30 pagi api berjaya dikawal. Peratusan kemusnahan kebakaran masih dalam penilaian ketua operasi dan operasi pemadaman masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.










